Ini Sebab Mengapa Shahir Pilih Lagu Pencuri Hati

Penyanyi Shahir akui dia sengaja mencabar diri dan kebolehannya dengan membawakan lagu Pencuri Hati di Konsert AF Megastar semalam.

Shahir berkata dia memilih lagu nyanyian Ayda Jebat sempena tema Mahakarya itu kerana mahu cuba untuk keluar daripada zon selesa.

“Saya tahu ramai yang tertanya- tanya malah ada yang tidak percaya mengapa saya memilih lagu yang jauh daripada kebiasaan saya.

“Sebenarnya saya mahu mencabar diri saya untuk membawakan lagu yang bukan identiti saya supaya boleh keluar daripada zon selesa.

“Bagi saya pentas AF Megastar adalah platform yang baik untuk saya mencuba bereksperimen lagu-lagu yang bukan kebiasaannya.

“Namun saya lihat eksperimen kali ini kurang menjadi kerana saya mendapat respon rata-rata hanya suka bahagian pertama lagu saya ketika bermain piano sahaja,” katanya kepada Astro Gempak.

Selain Sufi dan Amir, Shahir merupakan tiga bintang yang mendapat tempat terendah daripada jumlah markah pada Konsert AF Megastar semalam.

Shahir akui pemilihan lagu serta persembahannya malam itu telah membuatkan dia hampir tersingkir.

“Sebenarnya saya dah dapat agak dan sudah bersedia jika ditakdirkan saya keluar malam ini (malam tadi).

“Saya akui persembahan saya agak lemah dan percubaan saya kali ini sedikit tidak menjadi.

“Saya memang mengaku tidak pandai menari dan terlalu mencuba sehingga akhirnya merosakkan persembahan saya.

“Jadi saya tidak terkejut jika saya terkeluar tapi saya masih diberi peluang lagi. Ini bermakna pihak produksi masih mempercayai kebolehan saya,” katanya lagi.

AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Untuk menonton video persembahan bintang-bintang AF Megastar, layari http://www.gempak.com/af-megastar/video

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman http://www.afmegastar.com.my/

Jika mahu menonton koleksi konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga ke AF2013, boleh ke Astro On Demand (OD) dengan melayari  www.watchod.com

Teks oleh: Syafiqah Jalal

sumber: thereporter

Reply