Kucupan terakhir ayah

KEBIASAANNYA, sebelum pergi kerja, arwah akan bangun peluk dan cium saya.

“Tetapi pagi tadi, saya yang cium Muhammad Sarmindi kerana dia masih tidur sebelum saya ke tempat kerja,” kata Mindi Boy Tiasil, 26, bapa kepada kanak-kanak berusia setahun, Muhammad Sarmindi Abdullah yang maut digilis van di Skim Penempatan Telipok, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 6.45 pagi itu, mangsa yang parah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telipok sebelum

disahkan meninggal dunia.

Mindi berkata, dia dan isteri, Norapinah Joe, 20, memanggil Muhammad Sarmindi dengan nama, Muhammad.

“Dia sangat rapat dengan kami terutama ibunya kerana Muhammad anak tunggal kami.

“Kelmarin, saya ada berjanji kepada Muhammad untuk membelikannya telefon bimbit kerana dia suka melihat video kartun dalam telefon bimbit ibunya.

“Sebelum ini, ada kalanya dia menangis jika saya mengambil telefon bimbit ketika dia menonton kartun di telefon bimbit.

“Namun, saya tak sangka kejadian ini berlaku hari ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Klinik Kesihatan Telipok.

Ketika Mindi mendukung jenazah anaknya untuk dibawa menaiki kenderaan polis di Klinik Kesihatan Telipok Norapinah tidak henti-henti menangis.

Malah, Norapinah memeluk mayat anaknya sambil menangis sebelum ditenangkan oleh suaminya.

Situasi itu menyebabkan beberapa ahli keluarga yang berada di klinik berkenaan turut mengalirkan air mata.

Mindi berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana keluar bekerja sebagai buruh kasar di Penampang.

Difahamkan, sebelum kejadian, kanak-kanak itu dibawa ke kedai runcit milik keluarganya di perumahan berkenaan.

Ketika kejadian, dia dijaga oleh datuknya dan bapa saudaranya.

Pada masa itu juga, datuk mangsa menaiki sebuah van yang berhenti di hadapan kedai runcit untuk ke pekan Telipok.

Tanpa disedari mangsa berada di bawah kenderaan lalu digilis van berkenaan.

Reply