Tedung selar 4 meter masuk dapur

TINDAKAN pantas serta kemahiran dimiliki anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim berjaya menangkap ular tedung selar sepanjang empat meter di rumah seorang penduduk di Kampung Ulu Paip, Karangan, Kulim, semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.11 petang semalam daripada seorang lelaki berusia 56 tahun memaklumkan rumahnya dimasuki ular.

Katanya, berikutan itu lima anggotanya diketuai Staff Muda (PA) Noraishah Atikah Ramli, bergegas ke tempat kejadian bagi memberi bantuan.

“Sebaik tiba lelaki itu memaklumkan kepada anggota APM bahawa ular itu berlingkar bersebelahan tong gas di dapur belakang rumahnya.

“Anggota kami kemudian membuat pencarian dan menemui ular terbabit. Walaupun anggota APM berpengalaman mereka perlu berhati-hati untuk menangkap ular terutama spesies berbisa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd Fadhil Fahmi kira-kira 20 minit berusaha, anggotanya berjaya menangkap ular tedung selar itu.

“Ular terbabit kemudian dilepaskan ke habitat asalnya serta jauh daripada kawasan yang ramai penduduk.

“Pihak kami ingin menasihati orang ramai sekiranya rumah mereka dimasuki binatang liar atau berbisa hubungi anggota penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atau APM yang lebih berpengalaman dalam menangani situasi terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 4:06 PM

mymetro

Reply