‘Tirai besi’ buat pemburu penyu hijau

DUA lelaki warga asing, masing-masing dihukum penjara empat tahun dan denda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini.

Mereka mengaku salah atas tuduhan memiliki 97 kilogram (kg) cengkerang dan beberapa bahagian bangkai penyu hijau, di Pulau Ligitan, Semporna, pada Sabtu lalu.

Hakim Indra Ayub menjatuhkan hukuman itu terhadap Adam Ilma, 30, dan Gunak Sinduk, 20, serta memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 7 Oktober lalu.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan setahun jika gagal membayar denda.


ANTARA barang kes yang dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau. FOTO Nasrawati Syarifuddin

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa memiliki 97kg cengkerang dan beberapa bahagian bangkai spesis haiwan yang dilindungi sepenuhnya mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pulau Ligitan, Semporna, pada kira-kira 11 pagi, 7 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Abdul Karim Dakog, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota penguatkuasa JHL Sabah menjalankan satu operasi membanteras aktiviti pemburuan haram penyu di Pulau Ligitan, Semporna, 7 Oktober lalu.

Ketika operasi dijalankan, anggota penguatkuasa menahan kedua-dua tertuduh dan menemui cengkerang dan beberapa bahagian rangka penyu dengan berat keseluruhan 97kg.

Anggota JHL Sabah kemudian merampas cengkerang dan beberapa bahagian rangka penyu, pisau, batu asah dan tong yang dipotong kepada dua bahagian.

Suspek kemudian ditahan dan semua barangan itu dirampas sebelum dibawa ke pejabat Pejabat Hidupan Liar Tawau untuk tindakan lanjut

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 3:47 PM

mymetro

Reply